perjalanan yang masih jauh-menuju destinasi yang indah

Sunday, May 1, 2011

...:: UJIAN ::..

Ujian Yang Silih Berganti.

Bermulanya dengan tangisan pertama, hingga keluhan terakhir, setiap yang punya akal akan dinilai. Penilaian yang tertakluk pada kudrat dan iradat Allah ini, tidak siapa yang dapat katakan 'henti' kerana ia ialah ujian yang tidak kelihatan pada nilai zahir. Cuma nurani yang jernih sahaja mampu menilai.

Saudaraku.

Kita sering terlupa bahawa memang hidup ini ialah satu ujian. Saat kita gagal, ia ujian. Saat kita cemerlang, itu ujian. Saat kita menang, itu ujian dan saat kita gagal, itu juga ujian. Maka, setiap keluhan dan sorak gembira punya markah dan nilai yang signifikan.

Jika pernah kalian melihat bagaimana kalian memanjat tangga, maka kalian akan ketahuan bahawa ia sama seperti dunia yang sedang kalian hadapi ini. Di hujung tangga ialah syurga. Layaklah... kerana ia ialah tempat yang tinggi dan terpelihara. Kita bermula dari bawah. Satu per satu anak tangga kita daki.

Tangga pertama...

Tangga kedua....

Tangga ketiga...

Seterusnya.

Itulah letaknya ujian. Ujian yang bertingkat-tingkat. Tahapannya tidak sama, bahkan meningkat dan penuh variasi yang curiga serta sulit pula.

Jika ditakdirkan Allah kita selamat pada ujian yang pertama, bagaimanakah mungkin boleh untuk kita melebarkan senyum walhal yang menanti di sana ialah ujian kedua?

Keluhan.

Jika mahu mengeluh, itu bukan cara. Jika mahu menangis, itu juga bukan yang dididik. Yang utama, basahkan diri dengan sifat taqwa. Biarkan sifat itu bertakhta utuh. Biar! Biar sahaja dirimu bermandikan taqwa kerana sesudah itu, tiada kekesalan lagi!

Lihat dengan mata hati. Apa tujuan kamu diuji?

Allah menguji manusia kerana mahu kita melangkah ke atas. Jika tiada ujian, kita tidak akan sudi untuk ke atas. Jika tiada ujian, tidak ketahuan siapa yang manuju syurga dan siapa pula mencari neraka. Jika tidak didatangkan ujian juga, bagaimana mungkin hamba dapat bermanja dengan Tuhannya?

Dan jika tiada ujian juga... untuk apa kita hidup?

Kerana tujuan didatangkan kita ke dunia adalah untuk ibadah tanpa syirik yang bertali, maka wajarlah respon kita kepada ujian-Nya menjadi ibadah.

Saat perempuan cantik mendatangi, itu bererti ujian sedang bertandang.

Saat kesukaran menghimpit, itu tanda ujian.

Saat kejayaan datang bertimpa, itu juga sebutir berlian yang menguji.

Kepada siapa kamu meminta tolong, dan bagaimana caranya kamu mencari solusi?

"Kepada Engkau kami berserah dan kepada Engkau kami mohon pertolongan"

Seharusnya, respon kita saat diuji ialah begini, kerana kita tahu bahawa ujian itu datang dari-Nya dan dari-Nya juga datanglah penawar dan solusi.

Kesimpulan.

Allah sedang menguji kita dan ujian itu sifatnya mutlak. Setiap saat kita dalam hidup ini ialah ujian. Maka, berusahalah untuk meletakkan syurga sebagai puncak, kerana hanya dengan itu barulah diri ini punya kekuatan untuk melonjak lebih ke hadapan.

Dan satu lagi anak tangga dipijak... memanjangkan hujung sebuah ujian Ilahi

Dalam diari pejuang, tiada masalah yang merumitkan,
ujian yang melemahkan, bala yang menyusahkan...
Bahkan itu semua dijadikan batu loncatan untuk lebih hebat.
Mereka tepu dengan masalah dan ujian.
Cuma sesekali air mata merembes menerjah pipi,
lambang kekerdilan kudrat hamba.
Berdepan dengan 'belaian' PENCIPTA,
sebagai tanda ingatan-Nya.
Semoga ditabahkan hati dalam menghadapi ujian-Nya.
Semoga segala urusan dipermudahkan-Nya.

copied and edited from blog orang

No comments:

Post a Comment